Tuesday, May 5, 2009

Katakanlah Tak Tahu.


I don't know...

Dalam kehidupan manusia, terutama bagi mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi, pastinya akan kerap dihujani dengan pelbagai persoalan. Baik dari dalam diri, mahupun daripada orang lain.

Bila soalan ada, maka jawapan adalah diperlukan.

Masalahnya, manusia bukanlah makhluk yang tahu segala benda. Setinggi mana pun ilmunya dalam satu bidang, dia pastinya tidak mengetahui segala-galanya, tambahan yang berkenaan bidang lain.

Bila soalan yang ditujukan, tidak mempunyai jawapannya dari ilmu yang diketahui, manusia tetap akan berusaha memberikan pandangannya yang tersendiri. Lebih teruk lagi, kadangkala sehingga sanggup berbohong. Kononnya, hendak menjaga air muka dari malu.

Manusia susah hendak mengungkapkan dua kalimah bila dia tidak mempunyai ilmu berkenaan satu perkara: Tak Tahu.

Ketika saya tingkatan dua, saya ada mengikuti satu program kepimpinan. Dalam program kepimpinan itu, ada seorang penceramah dari Kuala Lumpur dijemput. Namanya Ustaz Yazid. Saya sudah lupa segala isi ceramahnya, kecuali satu perkara.

“ Bila kita tidak tahu satu perkara itu, maka katakan tidak tahu. Jangan kita mereka-reka jawapannya mengikut hawa nafsu sahaja. Cakap sahaja tidak tahu, dan jangan sesekali berbohong”

Itulah kata-kata Ustaz Yazid ini, yang saya ingat sehingga hari ini.

Manusia, sukar hendak berbuat demikian.

Kenapa?

Ego. Dan keadaan ini sebenarnya lebih banyak menyerang mereka yang mempunyai nama, pangkat dan telah dikenali ramai orang atas ketinggian ilmunya.

Kononnya, jika dia menjawab tidak tahu, akan kesian dengan orang yang bertanya inginkan jawapan. Kononnya, jika dia menjawab tidak tahu, kredibilitinya akan direndahkan. Kononnya, jika dia menjawab tidak tahu, maka air mukanya akan jatuh. Jadi, lebih baik dia menjawab, walaupun dia tahu jawapannya adalah salah.

Sebahagian orang, mungkin melihat perkara ini perkara kecil. Tetapi sebenarnya, salah memberikan jawapan kepada penyoal, mempunyai konsikuensi yang teramat buruk. Lebih-lebih lagi jika soalan itu berkait rapat dengan kepercayaan aqidah, dan hukum hakam agama. Salah jawapan yang kita beri, maka salahnya cara orang beramal. Siapakah yang akan menanggung kesilapan orang itu di akhirat nanti? Bukankah kita sebagai pemberi jawapan akan kembali dipersoalkan?

Sebab itu, kita sebagai manusia yanng disoal, perlu mempunyai disiplin, amanah dan kejujuran dalam memberikan jawapan.

Jika benar kita tidak mempunyai ilmu berkenaan perkara yang disoal, jangan malu untuk berkata tidak tahu. Malah, jangan segan untuk menunjukkan kepada si penyoal, manusia yang mungkin boleh membantunya mendapatkan jawapan.

Percayalah, jika anda melakukan perkara ini, maka manusia akan menjadi lebih hormat kepada anda. Hal ini kerana, anda tidak berbohong, dan terpapar sikap amanah anda dalam menjaga tanggungjawab ilmu ini. Mana ada manusia yang berkata benar, tetapi dia menjadi hina? Sekurang-kurangnya, ALLAH akan melimpahkan keberkatan kepadanya atas kata-katanya yang benar.

Ustaz Yazid itu ada berkongsi satu kisah berkenaan dengan seorang lelaki, yang berjalan jauh ke sebuah negeri untuk bertemu dengan seorang ulama’ yang terkenal alim. Lelaki itu telah menyiapkan puluhan soalan untuk ditanyakan kepada ulama’ itu.

Sebaik sahaja lelaki itu bertemu dengan ulama’ itu, selepas perjalannya yang teramat jauh lagi meletihkan itu, dia terus bertanya dengan soalan-soalannya yang telah dia sediakan.

Soalan pertama, ulama’ itu menjawab “ Aku tidak tahu”

Soalan kedua, ulama’ itu menjawab “ Aku tidak tahu”

Perkata ini berlanjutan, sehingga soalan yang terakhir. Semuanya dijawab “ Aku tidak tahu”

Lelaki itu kecewa. Perjalannya yang jauh seakan tidak bermakna. Lantas dia berkata kepada ulama’ itu, “ Wahai syeikh, apakah kau tidak boleh menjawab walaupun satu soalan? Tidakkah kau kasihan melihat aku yang datang dari jauh ini?”

Ulama’ itu membesarkan mata dan berkata, “ Kau hendak aku berbohongkah? Semua soalan kau itu memang tidak aku ketahui jawapannya. Jadi, apakah jawapan yang lebih baik dari tidak tahu? Kau carilah ulama’ di negeri lain yang alim dalam perkara yang kau soalkan”

Lelaki itu tersedar. Ulama’ itu hakikatnya berpegang kepada kebenaran. Bukan tidak kasihan dengan lelaki yang datang dari jauh, tetapi berpegang kepada prinsip ilmu yang benar, maka ulama’ itu tidak akan mereka-reka jawapan dari akalnya semata-mata. Perjalanan jauhnya, akan menjadi lebih sia-sia, jika dia mendapat jawapan yang salah sebenarnya. Menyedari perkara ini, lelaki itu terus mengucapkan terima kasih, dan bergerak ke negeri yang ulama’ itu tunjukkan, di mana orang alim atas soalan-soalannya berada.

Siapakah yang agaknya akan bersikap seperti ulama’ itu?

Dengan penuh kekuatan berkata “ Aku tidak tahu”.

Perkongsian dengan Ustaz Yazid ini amat bermakna. Lebih-lebih lagi untuk manusia yang dikenali ramai dengan ilmunya yang tinggi. Sesungguhnya, antara pembohongan yang dasyat adalah berbohong atas nama ALLAH dan Rasul. Rasulullah SAW bersabda,

“ Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka sesungguhnya dia telah menempah tempatnya di neraka” Al-Hadith.

Berbohong atas ilmu juga, adalah tergolong antara pembohongan yang dasyat itu.

Merosakkan kehidupan orang lain, hanya kerana hendak menjaga air muka diri?

Oh, pendeknya akal manusia. Secara tidak langsung, imejnya yang mempunyai ilmu tinggi, menjadi rendah begitu sahaja.

Maka, janganlah kita segan menyatakan “ Aku tidak tahu”, jika kita benar tidak mengetahui, tidak mempunyai ilmu dalam hal yang dipertanyakan kepada kita.

Jujurlah, amanahlah.

Wariskanlah ilmu yang benar kepada orang lain.


Sumber: http://ms.langitilahi.com

1 comments:

InkFlow on May 7, 2009 at 4:00 AM said...

jikalau tak tahu adalah sebaik-baiknya utk katakn tidak tahu... so... pergi la google apa yg tak diketahui. :D

Post a Comment

Followers

 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez